Kemahiran melukis kanak-kanak









Aktiviti melukis dikatakan sebagai suatu bentuk aktiviti yang banyak digunakan oleh saintis, pendidik dan ibu bapa bagi menyelami perasaan dan fikiran kanak-kanak. Aktiviti melukis merupakan aktiviti yang dapat membantu kanak-kanak mengenali objek selain membantu meningkatkan daya sensitiviti terhadap alam sekeliling mereka.

 

 Selain itu, aktiviti melukis juga meningkatkan daya imaginatif kanak-kanak selain berupaya mengimbangi emosi mereka. Ianya dijadikan sebagai satu proses pembelajaran kepada kanak-kanak melalui aktiviti imitasi alam sekeliling lalu dipermudahkan menjadi penghasilan simbol abstrak seterusnya menjadikan ianya satu bentuk hasil karya yang unik.


       ❤Melukis sebagai Medium Komunikasi

 Lukisan merupakan bentuk komunikasi awal kanak-kanak sebelum mereka berupaya untuk bertutur. Ianya dijadikan alat perhubungan yang berkesan untuk berinteraksi. Selain itu, lukisan juga dijadikan alat membantu saintis untuk menganalisa fikiran dan perasaan kanak-kanak. Penghasilan imej seperti pokok, figura manusia, catan dan arca boleh memberikan tafsiran yang dapat membantu ahli psikologi untuk mengenal pasti kanak-kanak yang mempunyai masalah trauma.

 

         ❤Melukis sebagai Cara Mencapai Kepuasan Diri

 Kanak-kanak umumnya belajar sambil bermain. Bagi mereka, aktiviti bermain memberikan kepuasan di samping memberikan peluang kepada mereka untuk meneroka alam sekeliling. Melukis merupakan aktiviti yang mampu memberikan kepuasan kepada kanak-kanak. Melalui lukisan, kanak-kanak boleh meluahkan perasaan dan emosi selain dapat membina kekuatan otot. Aktiviti seperti ini juga dapat membantu menajamkan daya imaginasi kanak-kanak.


❤Melukis untuk Meningkatkan Daya Penguasaan Kendiri (Self Esteem)

 Aktiviti melukis dapat memberikan kepuasan kepada kanak-kanak dalam meluahkan apa yang dilihat. Setelah itu dipindahkan semula dalam bentuk dan rupa imej yang unik mengikut tahap pemahaman mereka. Kesan penghasilan karya lukisan mampu membentuk personaliti kanak-kanak. Konsep kendiri terbina apabila kanak-kanak mampu melukis tanpa ragu dan tidak bimbang memikirkan soal kecantikan dan kekemasan karya mereka. Selain itu, aktiviti melukis juga menggalakkan kanak-kanak untuk bercerita mengenai karya mereka sekaligus membantu mereka untuk membina keyakinan diri untuk bertutur. Melalui aktiviti melukis, kanak-kanak dapat meningkatkan daya sensitiviti pancaindera.

Comments

Popular posts from this blog

KELEBIHAN DAN KEKURANGAN PDPR

3 Faedah Bercucuk Tanam Untuk Anak Seawal 3+ Tahun

KANAK-KANAK SANGAT SUKA DIPUJI. 5 SITUASI PUJIAN INI DAPAT MENDORONG ANAK AGAR SENTIASA MELAKUKAN KEBAIKAN SETIAP HARI