PUNCA ANAK TIDAK MAHU MENDENGAR KATA IBU BAPA



Kita sebagai manusia biasa, pasti tidak akan terlepas dalam membuat kesilapan. Namun, penting untuk seseorang bersikap lebih terbuka dan memperbaiki apa jua kelemahan supaya menjadi orang yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Sama seperti mendidik anak-anak. Adakalanya fahaman atau cara seseorang silap tanpa disedari sehinggalah ada yang menegurnya. Jangan cepat melenting atau marah malah berlapang dada dan tapis dahulu teguran yang kita terima. Jika ia teguran yang membina, ambilnya sebagai panduan. Jika ia teguran yang sekadar mengkritik, ucaplah terima kasih pada si “penegur”. Walaubagaimanapun, sebagai ibu bapa mesti mahu yang terbaik untuk anak-anak.

Di sini mari kita bincangkan punca anak tidak mahu mendengar kata yang biasa dilakukan ibu bapa semasa mendidik anak. Antara puncanya adalah seperti berikut:


·         Tingkah laku ibu bapa yang cepat marah dan tidak sabar semasa mendisiplinkan anak

-Antara kesilapan ibu bapa semasa mendisiplinkan anak adalah selalu cepat marah dan tidak sabar apabila menegur anak. Peranan ibu bapa adalah mendidik, bukan hanya mahu melepaskan geram pada mereka. Sebaliknya, sebagai ibu bapa mestilah sabar dalam mendidik anak agar anak dapat belajar dan tahu, apa yang dia lakukan adalah perkara yang salah. Bukan untuk anak takut melakukan sesuatu kerana takutkan ibu atau bapanya marah. Selain itu, apabila ibu bapa tidak mampu mengawal marah, dikhuatiri ibu bapa tersebut akan mengambil peluang untuk menghukum dengan berlebihan adakalanya sehingga ke tahap mendera anak. Ingatlah bahawa menghukum anak adalah bertujuan untuk mendidik. Perkara yang terbaik adalah kawal diri untuk mendisiplinkan anak dalam keadaan bertenang.



·         Ibu bapa yang suka membanding anak

-Membandingkan anak dengan orang lain, sama ada orang luar atau adik-beradiknya. Hal ini merupakan perkara yang tidak patut dilakukan ibu bapa. Membanding anak bukannya boleh membuatkan anak tersebut berubah menjadi lebih baik. Malah membuatkan anak menjadi geram dan benci akan adik beradiknya yang lain. Daripada membanding, lebih baik ibu bapa memuji dan memberi ganjaran kepada anak tersebut apabila dia melakukan seperti yang diharapkan. Dengan cara ini, mereka akan lebih terdorong untuk melakukan perbuatan begitu dimasa hadapan iaitu menjadi orang yang lebih baik seperti yang diharapkan oleh ibu bapa.



·         Ibu bapa yang tidak menunjukkan contoh yang baik

-Perlu ingat bahawa anak selalu memerhati apa yang ibu bapa lakukan kerana orang yang paling dekat dengan mereka adalah ibu bapa. Mereka akan menjadikan ibu bapa sebagai contoh mereka. Hal yang dapat dilihat adalah, sekiranya ibu bapa tidak menjaga solat dengan sempurna, anak tersebut tidak akan mahu menunaikan solat? Sekiranya ibu bapa sering menengking sesama sendiri, anak tersebut tidak akan menjaga kata apabila bersama rakan-rakan? Benar, tiada ibu bapa yang sempurna. Tetapi apa yang penting, ubahlah sikap yang tidak baik yang ada dalam diri ibu bapa terlebih dahulu sebelum mahu mengubah anak-anak.



·         Ibu bapa yang tidak menghormati anak

-Sebagai orang Islam, pastinya kita semua sudah dididik sejak kecil bahawa anak-anak wajib taat pada ibu bapanya. Allah SWT juga telah menegaskan dalam Quran untuk sentiasa berbuat baik pada ibu bapa kita. Begitu juga  dengan Nabi kita. Namun begitu, bukan anak-anak sahaja yang perlu patut patuh dan berbuat baik kepada ibu bapanya. Malah, ibu bapa juga mestilah berbuat baik dan menghormati anak-anak. Apabila mahu berkomunikasi dengan anak-anak atau cuba untuk mendisiplinkan mereka, ibu bapa haruslah bersikap lemah lembut dan baik pada mereka. Hal ini kerana setiap manusia akan lebih mudah mendengar kata dan berlembut hati dengan orang yang mempunyai hubungan yang positif dengan mereka. Begitu juga dengan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa mestilah bercakap dengan anak dalam nada yang tenang dan lemah lembut lebih-lebih lagi dihadapan orang ramai. Perbuatan menengking dan memarahi anak-anak dihadapan orang lain adalah salah. Perbuatan tersebut akan memalukan mereka dan menjatuhkan maruahnya sekaligus membuatkan mereka sukar untuk mendengar kata.


·         Ibu bapa yang terlalu berharap kesempurnaan

-Sebagai ibu bapa, jangan terlalu berharapkan kesempurnaan terhadap anak-anak. Ibu bapa haruslah sentiasa ingat bahawa tiada manusia yang sempurna termasuk diri kita. Orang dewasa juga ada kalanya berasa malas, tidak bermaya ataupun merasakan penat sepanjang hari tersebut. Adakalanya juga, tiba-tiba terasa ceria, bersemangat, rajin untuk melakukan sesuatu perkara dan mudah tersenyum sepanjang hari. Begitu juga dengan anak-anak. Mereka juga mempunyai pasang surut emosi. Adakalanya rajin dan mudah mendengar kata. Namun adakalanya sedikit nakal dan mahukan perhatian lebih berbanding hari biasa. Oleh itu, ibu bapa harus ingat bahawa setiap orang mahukan Allah SWT sentiasa sabar dan memaafkan kita setiap kali melakukan kesilapan. Apa salahnya kita melakukan perkara yang sama pada anak-anak iaitu sentiasa sabar dan memaafkan anak setiap kali mereka melakukan kesilapan.











 

Comments

Popular posts from this blog

KELEBIHAN DAN KEKURANGAN PDPR

3 Faedah Bercucuk Tanam Untuk Anak Seawal 3+ Tahun

KANAK-KANAK SANGAT SUKA DIPUJI. 5 SITUASI PUJIAN INI DAPAT MENDORONG ANAK AGAR SENTIASA MELAKUKAN KEBAIKAN SETIAP HARI