Kekalkan Tenaga Anak-Anak yang Berpuasa Sepanjang Bulan Ramadan

 

TABIAT PEMAKANAN YANG MEMBOLEHKAN KANAK-KANAK KEKAL BERTENAGA SEPANJANG BULAN RAMADAN

Marhaban Ya Ramadan! Bulan Ramadan tiba lagi. Alhamdulillah, pejam celik-pejam celik akhirnya tiba juga bulan yang penuh dengan keberkatan iaitu Bulan Ramadan. Ibu bapa semestinya orang yang paling bersemangat dan teruja mengajar serta melatih anak-anak khususnya kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun untuk mula berpuasa secara berperingkat.

Mengajar anak-anak berpuasa mungkin merupakan salah satu cabaran yang perlu ditempuh oleh ibu bapa. Namun begitu, situasi tersebut akan menjadi lancar dan teratur sekiranya ibu bapa bijak menguruskan pemakanan si kecil mengikut tahap ketahanan anak-anak itu. Tidak kisahlah jika anak-anak hanya mampu berpuasa hanya separuh hari atau sebaliknya, ibu bapa semestinya menyokong anak-anak serta sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak untuk menjalani ibadah puasa pada hari berikutnya.

Antara aspek atau elemen yang mampu membuatkan kanak-kanak dapat menahan diri daripada makan dan minum pada Bulan Ramadan adalah jenis makanan yang diambil oleh kanak-kanak. Menurut Puan Rose, seorang pegawai diatetik, menyatakan bahawa ibu bapa perlu menyediakan makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti dan biskut kerana makanan-makana tersebut akan mengenyangkan serta mengambil masa yang lama untuk dicernakan. Oleh itu, kanak-kanak dapat bertahan dan masih mempunyai tenaga untuk berpuasa. Oleh itu, ibu bapa mestilah memberikan makanan yang mempunyai karbohidrat kompleks seperti beras perang dan pasta ketika bersahur dan berbuka kerana kanak-kanak perlu mengambil dua hidangan utama sehari selain daripada snek ringan sebelum mereka tidur.

Seterusnya, jenis makanan yang mengandungi serat yang tinggi seperti sayur-sayuran tidak seharusnya diabaikan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menyediakan bubur yang dicampurkan dengan sayur-sayuran bersama telur atau sumber protein lain. Selain daripada itu, rasa manis semula jadi daripada buah-buahan juga merupakan elemen penting untuk memenuhi keperluan pemakanan kanak-kanak.


Pada waktu sahur khususnya, ibu bapa boleh menyajikan susu jika anak-anak tidak boleh menerima atau mengambil makanan berat seperti bubur atau nasi. Hal ini kerana susu membolehkan kanak-kanak berasa kenyang dalam tempoh yang lama serta membuatkan mereka lebih bertenaga. Susu juga merupakan sumber nutrisi yang bagus buat kanak-kanak berbanding dengan jus buah-buahan atau minuman yang mengandungi gula.

Dalam pada itu, ibu bapa seharusnya menggelakkan anak-anak daripada memakan makanan yang mempunyai kandungan lemak yang tinggi seperti kek dan juga makanan yang pedas seperti sambal dan sebagainya. Hal ini perlu dicakna oleh ibu bapa agar kanak-kanak tidak mengalami masalah penghadaman seperti kembung, sakit perut dan sebagainya.


Secara tuntasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyediakan makanan berkhasiat sesuai dengan perkembangan dan keperluan kanak-kanak agar mereka boleh berlatih berpuasa secara berperingkat. Penyediaan makanan yang baik dan betul dapat mengindarkan sebarang masalah kepada kanak-kakak ketika mereka cuba untuk berpuasa selain dapat membantu mereka mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat. Selamat berpuasa tuan muda dan cikpuan muda!

Comments

Popular posts from this blog

KELEBIHAN DAN KEKURANGAN PDPR

3 Faedah Bercucuk Tanam Untuk Anak Seawal 3+ Tahun

KANAK-KANAK SANGAT SUKA DIPUJI. 5 SITUASI PUJIAN INI DAPAT MENDORONG ANAK AGAR SENTIASA MELAKUKAN KEBAIKAN SETIAP HARI