10 Perkara Saya Belajar Tentang Anak Kecil Apabila Menjadi Guru Tadika

 


Lain kanak-kanak lain ragamnya. Ada kanak-kanak yang hanya sekali diberi arahan ataupun tunjuk ajar, ada juga kanak-kanak yang lambat bertindak apabila diberi sebarang arahan. 

Namun demikian, adakah kita sebagai pendidik atau ibu bapa cuba memahami apakah yang sebenarnya kanak-kanak inginkan? 

Menurut penulis buku keibubapaan, Puan Adlil Rajiah, kanak-kanak mempunyai daya fokus yang berbeza-beza dan daya fokus kanak-kanak hanya bertahan dalam masa 30 saat hingga satu minit sahaja. 

Walaupun demikian, daya fokus kanak-kanak dalam sesuatu topik mahupun aktiviti sebenarnya boleh dirangsang dengan kreativiti para pendidik dan juga ibu bapa. Sebagai seorang pendidik, banyak perangai dan juga ragam kanak-kanak yang harus kita alert dan bersedia terhadap sebarang kemungkinan.


Ini adalah 10 perkara saya belajar tentang anak kecil apabila menjadi guru tadika:

1.  1. Kanak-kanak mahukan perhatian dan masa untuk mereka.

Orang dewasa seperti kita juga memerlukan perhatian, tambahan pula kanak-kanak yang baru mengenal erti kehidupan. Dalam penulisan artikel oleh Joshua Becker, kanak-kanak amat memerlukan perhatian orang dewasa. Mereka juga memerlukan masa yang berkualiti dan masa yang berkuantiti dengan ibu bapa mahupun guru mereka. Sebagai seorang pendidik, perkara yang paling mustahak dan penting adalah masa. Oleh itu, jangan lokek masa untuk diberikan kepada anak murid anda.

2.    Kasih Sayang

Jika kanak-kanak mahukan perhatian, kanak-kanak juga pasti memerlukan kasih sayang daripada seorang guru. Perkara yang lebih penting daripada segala hal yang lain ialah kanak-kanak perlukan kasih sayang. 

Tumpukan perhatian kepada apa yang hendak disampaikan oleh kanak-kanak tersebut sudahpun menunjukkan bahawa kita kasih dan mengambil berat tentang cerita yang mereka sampaikan.

Apabila seseorang kanak-kanak itu berasa disayangi, secara tidak langsung, mereka akan membangunkan nilai harga diri, kepercayaan diri dan juga kemampuan untuk menyayangi orang lain.

3. Galakan dan juga sokongan

Kadang-kala sesuatu ayat atau perkataan berbentuk pujian itu memberikan erti yang besar dan boleh mengubah pemikiran seseorang kanak-kanak itu. Selain itu, guru atau ibu bapa perlu memastikan kanak-kanak tahu bahawa kita bangga dengan apa yang mereka usahakan tak kiralah dari segi akademik, lukisan, kraftangan mahupun sukan. Sentiasa berikan mereka sokongan dan galakan setiap masa yang bersesuaian agar mereka rasa dihargai dan juga lebih bersemangat.


4.    Kestabilan dan suasana pembelajaran yang kondusif dan selesa

 Kanak-kanak juga mahukan suasana ataupun tempat yang selesa untuk mereka menimba ilmu dan bermain. Guru mahupun ibu bapa seharusnya menyediakan ruang yang selesa dan juga menarik untuk kanak-kanak supaya mereka lebih bersedia dan ceria untuk memulakan hari mereka. 

Selain itu, kanak-kanak juga mempunyai perasaan clingy ataupun dependency yang tinggi. Mereka perlu tahu kedudukan mereka sebagai seorang anak dan murid, siapa yang boleh mereka percayai dan juga siapa yang ada ketika mereka memerlukan bantuan.

 5.    Kesempatan dan peluang

Kanak-kanak perlukan kesempatan dan juga peluang untuk merasai pengalaman baru supaya mereka boleh mengetahui apa sebenarnya yang mereka sukai dan mereka mahir. Oleh itu, mereka amat memerlukan kesempatan dan juga peluang untuk mereka kembangkan minat mereka

Hal ini termasuklah dari segi pembelajaran, aktiviti, makanan dan kawan-kawan. Jamie M. Howard dalam artikelnya berkata bahawa persahabatan membolehkah kanak-kanak mempraktikkan kemahiran penting seperti pengendalian diri, peluang untuk refleksikan diri dan juga kesempatan untuk memahami impak daripada tindakan seseorang itu kepada orang lain. 

Kajian juga menyatakan bahawa persahabatan menghindarkan kanak-kanak dengan kesan negatif daripada peristiwa kehidupan yang penuh tekanan dan meningkatkan ketahan diri.

 6.    Disiplin

Penulis Amerika, Joyce Maynard pernah berkata, “Bukan sahaja anak kita yang membesar. Ibu bapa juga sama. Seperti mana kita mahu melihat apa yang anak kita lakukan, mereka juga memerhati apa yang kita lakukan. Saya tidak boleh menyuruh mereka menggapai matahari. Apa yang boleh saya lakukan ialah melakukannya sendiri.” 

Oleh sebab itu, kanak-kanak perlu belajar daripada asasnya termasuklah cara bertingkah laku sopan, bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan orang lain dan juga bagaimana untuk menggapai impian mereka. Sikap disiplin ini tidak sepatutnya ditangguh atau dielakkan oleh kanak-kanak. Sebaliknya, sikap ini haruslah diterapkan secara konsisten dan secara positif.


7.    Ketawa dan dan gurauan adalah ubat terbaik untuk meredakan kesedihan

 Setiap kanak-kanak perlukan suasana yang riang dan juga menggembirakan termasuklah sesuatu yang membuatkan mereka ketawa selepas bersedih. Menurut kajian, kanak-kanak ketawa 200 kali dalam sehari manakala orang dewasa ketawa hanya 15 ke 18 kali sehari. Ketawa baik untuk mental kanak-kanak dan untuk kekuatan fizikal mereka. 

Para guru dan ibu bapa sepatutnya menggalakkan kanak-kanak untuk merasai suasana ceria yang penuh gelak tawa. Kongsikan dengan mereka cerita kelakar dan gurauan yang bersesuaian. Jangan lupa ketawa apabila mereka juga membuat sesuatu yang kelakar.

 8.    Melihat seseorang itu bukan semata-mata hanya pada paras rupa dan penampilan

Sifat kanak-kanak yang polos dan hanya tahu bermain bersama kawan masing-masing tanpa memprejudiskan penampilan mereka harus diberikan pujian. Mereka bebas bergaul tanpa memikirkan status sosial ataupun penampilan seseorang itu asalkan mereka juga berpemikiran sama dengannya. 

Sifat mulia ini seharusnya dikekalkan dan diterapkan dalam diri kanak-kanak sehingga mereka menginjak ke alam dewasa.

 9.     Ruang untuk melakukan kesalahan

 Selagi mana kita bernama manusia, selagi itulah kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Ini termasuklah kanak-kanak. Inilah antara perkara yang membuatkan mereka unik dan menarik. Oleh sebab itu, kita sebagai pendidik dan juga ibu bapa haruslah bijak mengawal keadaan dan juga sabar melayani keletah mereka. 

Beri mereka ruang untuk melakukan ekperimen, menjelajah dan juga melakukan kesalahan seperti kata penulis dalam blognya iaitu“Sometimes, it is okay to have ice cream for dinner.”

10.    Menghargai hal-hal yang kecil dan remeh

Kanak-Kanak memiliki cara yang bagus dan kreatif dalam melihat dunia melalui sudut pandang yang berbeza daripada orang dewasa. Hal ini kerana kanak-kanak lebih menghargai hal-hal kecil yang terjadi setiap hari di dunia mereka dan secara tidak langsung juga mengajar orang dewasa agar lebih menghargai setiap hal-hal baik yang berlaku tidak kiralah hal itu kecil mahupun hal besar.



Kesimpulannya, kanak-kanak banyak mengajar kita tentang sesuatu hal yang kita anggap remeh dan mudah. Sebagai ibu bapa dan guru, kita sepatutnya mengambil lebih banyak masa untuk memahami pengajaran yang kanak-kanak tonjolkan kepada kita dan mengaplikasikan hal-hal tersebut dalam kehidupan seharian kita.

Catatan oleh : Teacher Wina



Comments

Popular posts from this blog

KELEBIHAN DAN KEKURANGAN PDPR

3 Faedah Bercucuk Tanam Untuk Anak Seawal 3+ Tahun

KANAK-KANAK SANGAT SUKA DIPUJI. 5 SITUASI PUJIAN INI DAPAT MENDORONG ANAK AGAR SENTIASA MELAKUKAN KEBAIKAN SETIAP HARI