KEPENTINGAN AKTIVITI RIADAH BERSAMA KELUARGA

 

Aktiviti riadah merupakan aktiviti yang dilakukan oleh setiap anggota keluarga pada waktu lapang mereka. Terdapat pelbagai aktiviti riadah yang sering dilakukan. Antaranya termasuklah bersukan, bergotong royong dan banyak lagi. Namun jika dilihat pada era globalisasi ini, aktiviti riadah semakin terhapus dalam kalangan anggota keluarga. Hal ini demikian kerana masing-masing terlalu sibuk dengan urusan seharian mereka. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana aktiviti riadah sebenarnya mendatangkan banyak kebaikan kepada kita. Sekiranya aktiviti ini tidak dilaksanakan kita tidak akan dapat memanfaatkan kebaikan yang diperolehi itu dalam kehidupan seharian kita. Persoalannya, apakah kebaikan aktiviti riadah bersama keluarga?



Antara kebaikan aktiviti riadah bersama keluarga ialah hubungan silaturahim dapat dieratkan menerusi aktiviti riadah. Hal ini demikian kerana apabila aktiviti ini dilakukan, semua anggota keluarga akan berkumpul pada satu tempat. Sebagai misalnya, melalui aktiviti gotong royong anggota keluarga akan bekerjasama menggembleng tenaga bagi membersihkan sesuatu kawasan di sekitar taman perumahan seperti kata pepatah Melayu, berat sama dijinjing, ringan sama dipikul. Anggota keluarga akan sama-sama membersihkan kawasan itu. Natijahnya, kebaikan aktiviti riadah adalah dari segi mengertakan hubungan silaturahim.

Seterusnya, aktiviti riadah juga dapat melahirkan sebuah institusi keluarga yang bahagia. Hal ini demikian kerana dengan adanya aktiviti seperti berkelah, anggota keluarga akan berkumpul bersama-sama terutamanya pada hujung minggu memandangkan ada dalam kalangan anggota keluarga yang sibuk bekerja pada hari-hari biasa. Apabila semua anggota keluarga berkumpul, semua masalah yang menyelubungi ahli  dapat dibincangkan. Jelaslah di sini bahawa, sesebuah institusi kekeluargaan yang bahagia akan dapat diwujudkan melalui aktiviti riadah pada hujung minggu.


Di samping itu, kebaikan dominan yang menyumbang kepada aktiviti riadah ialah setiap ahli keluarga dapat mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila kita beriadah, kadar lemak yang terkumpul dalam tubuh badan dapat dikurangkan malahan setiap ahli keluarga dapat mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Tamsilnya, kita boleh libatkan diri dalam pelbagai aktiviti seperti bersenam,berkelah dan sebagainya. Deduksinya, kita perlu menjadikan aktiviti riadah ini sebagai agenda harian supaya kesihatan tubuh badan yang hakiki dapat dinikmati dan membebaskan diri daripada sebarang masalah yang menghimpit kalbu kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

Sesungguhnya, kehidupan berkeluarga amat penting kepada kita. Aktiviti riadah seperti berkelah, berkhemah dan mendaki bukit, jika dilakukan bersama keluarga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Nilai-nilai murni dapat dipupuk di kalangan anggota keluarga. Semangat tolong-menolong dan kerjasama akan menambah keseronokan sesebuah keluarga ketika beriadah. Seterusnya ia akan melahirkan sebuah keluarga yang harmoni dan saling memahami antara satu sama lain.

Kesimpulannya, aktiviti riadah mendatangkan pelbagai kemaslahatan kepada kita. Oleh hal demikian, aktiviti ini wajar diteruskan agar setiap anggota keluarga dapat merasai kenikmatannya. Tanpa aktiviti riadah ini, kalangan anggota keluarga akan renggang. Akhir kalam, aktiviti ini riadah seharusnya dipraktikkan oleh setiap anggota keluarga agar tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.

 

 

 

Comments

Popular posts from this blog

KELEBIHAN DAN KEKURANGAN PDPR

3 Faedah Bercucuk Tanam Untuk Anak Seawal 3+ Tahun

6 Peringkat Ketika Bermain Blok / Bongkah