4 Aktiviti Menarik Menggunakan Bahan Di Rumah Untuk Anak 4-6 Tahun
![]() |
Anak dilatih untuk bersopan-santun dan hormat sesama kawan dan yang lebih dewasa di Tadika Kembara Bijak |
Si kecil anda lincah dan bertenaga sepanjang hari? Jika ya, maka jangan biarkan mereka kebosanan atau masa mereka terbuang begitu saja tanpa ada aktiviti menarik untuk dilakukan di rumah. Ibu dan bapa mana yang tidak mahu anaknya aktif, pintar dan kreatif.
Namun, kebanyakan ibu bapa kurang peka tentang tahap kreatif anak masing-masing kerana kreativiti itu bukanlah sesuatu yang datang secara semula jadi. Kreativiti itu perlu dipupuk dan dirangsang secara konsisten agar hal itu menjadi kebiasaan dalam diri si kecil.
Ibu bapa juga haruslah mengetahui bahawa rumah merupakan tempat utama mereka menghabiskan masa berbanding jadual mereka di sekolah atau tadika. Dalam erti kata lain, rumah adalah tempat mereka melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga dan banyak bahan di rumah yang boleh dijadikan objek bagi meningkatkan daya kreativiti yang boleh membuatkan pembelajaran lebih menyeronokkan.
Seperti kata penulis Majalah Pa & Ma, Norhasliza Yusoff, kanak-kanak terutamanya dalam lingkungan usia empat tahun tidak sepatutnya disibukkan dengan kerja sekolah atau homework yang sifatnya lebih abstrak sebaliknya buat aktiviti yang lebih bersifat maujud atau konkrit agar daya motor halus dan motor kasar dapat dilakukan dengan lebih sempurna oleh kanak-kanak. Antara aktiviti yang boleh dilakukan hanya dengan menggunakan bahan di rumah ialah:
1. Melakukan aktiviti berlakon menggunakan barang atau prop buatan tangan
![]() |
Photo by Daisy Anderson from Pexels |
Kanak-kanak dan imaginasi memang tidak dapat dipisahkan. Mereka amat gemar berimaginasi dan juga berkhayal selain suka melakonkan watak-watak yang menarik perhatian mereka. Muhamad Naim Abd Manaf, penulis blog Tudung Si Comel.com mencadangkan bahawa aktiviti seperti berlakon dapat memberi manfaat kepada kanak-kanak contohnya mereka akan lebih imaginatif dan juga mempunyai kecenderungan untuk mencipta sesuatu yang kreatif.
Ibu bapa hendaklah membantu kanak-kanak membuat alatan yang digunakan dalam sesi lakonan supaya mereka lebih tertarik untuk melakukan aktivit tersebut. Sebagai contoh, ibu bapa Bersama-sama dengan anak membuat rumah menggunakan kotak dan melakonkan watak sebagai tetamu dan tuan rumah. Latih mereka cara menjemput tetamu masuk ke dalam rumah dengan penuh adab sopan dan kata-kata yang baik.
2. Membuat doh atau tanah liat daripada tepung
![]() |
Photo by Julia M Cameron from Pexels |
Dipetik daripada lama web pbs.org yang mengatakan bahawa kanak-kanak perlukan ruang dan kesempatan untuk membina kreativiti. Dalam hal ini, kanak-kanak memerlukan ruang untuk bermain dan berfikir secara kreatif. Oleh itu, ibu bapa mestilah memulakan sesuatu aktviti yang bersesuaian dengan minat dan kemahuan mereka.
Hal ini termasuklah bersama-sama dengan anak membuat playdough atau tanah liat daripada tepung. Selepas siap menguli tepung, biarkan anak-anak anda membuat apa sahaj bentuk atau objek yang mereka mahukan. Jangan lupa untuk bertanya apakah nama dan fungsi objek tersebut supaya anak anda boleh berfikir secara kritis dan bijak.
3. Menggunakan bahan seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan juga minuman
![]() |
Photo by Sydney Troxell from Pexels |
Ibu bapa dapat meningkatkan kemahiran mengira atau kemahiran matematik anak-anak anda dengan membuat permainan seperti mengira nombor-nombor. Sebagai contoh, ibu atau bapa meletakkan gambar makanan di lantai atau pada dinding seterusnya menyuruh anak anda mengira dan menambah jumlah makanan tersebut.
Jika anak berjaya menjawab soalan-soalan anda, hadiahkan makanan tersebut dan raikan anak anda dengan cara memangilnya untuk menerima hadiah seperti dalam penerimaan anugerah atau cara lain yang anda suka.
4. Membuat Buku Skrap
![]() |
Photo by JTMultimidia from Pexels |
Ibu dan bapa juga boleh menggalakkan anak-anak anda mengumpul apa sahaja yang mereka jumpa di sekeliling mereka dan menampalkan dalam buku skrap yang dibuat sendiri menggunakan kertas terpakai atau kotak yang tidak digunakan lagi.
Sebagai contoh, ibu bapa menceritakan jenis-jenis haiwan kepada anak dan meminta mereka mencari gambar haiwan dalam kertas surat khabar lama mahupun buku-buku ynag sudah tidak digunakan lagi. Minta mereka mencari dan menampal gambar-gambar haiwan seterusnya mengelaskan haiwan-haiwan tersebut dalam kelas haiwan laut dan haiwan darat.
Aktiviti ini dapat melatih kanak-kanak untuk menyelesaikan masalah dan juga mampu menajamkan ingatan mereka tentang pengetahuan asas berkaitan haiwan-haiwan.
Einstein pernah berkata bahawa, “Imaginasi itu lebih penting daripada pengetahuan”. Oleh hal yang demikian, ibu bapa seharusnya menggunakan peluang dan kesempatan yang terluang di rumah bersama anak-anak agar masa mereka digunakan dengan sebaik-baiknya kerana imaginasi kanak-kanak itu merupakan kunci kepada segala kemungkinan.
Penulis :
Teacher Syazwina
Guru Kelas 6 Santun
Comments
Post a Comment