6 Peringkat Ketika Bermain Blok / Bongkah

 


Photo by 
cottonbro from Pexels


No book for today! Kebanyakan kanak-kanak akan berasa gembira dan seronok jika ibu bapa atau guru tidak menggunakan buku atau alatan bantuan mengajar seperti kertas dan pensel di rumah atau di dalam kelas. Kanak-kanak cepat berasa bosan jika mereka asyik dibebankan dengan ‘homework’ atau kerja sekolah yang memerlukan mereka menulis.

Sekali-sekala, ibu bapa dan guru mestilah membenarkan kanak-kanak menggunakan imaginasi mereka yang unik itu untuk mencipta sesuatu yang mereka suka. Sebagai contoh, ibu bapa atau guru memberikan permainan yang mampu menarik minat mereka dalam masa yang sama dapat melatih dan merangsang minda mereka.

Contoh permainan tersebut ialah blok atau mainan yang bersifat konstruktif di mana mainan tersebut boleh dibina dan disusun. Dalam buku Ada Apa Dengan Bermain karya Dr. Putri Afzan Maria, beliau menulis tentang satu topik iaitu Do You Know That Children go Through 6 Expected Stages in Their Block Play. Berikut ialah 6 peringkat Ketika bermain blok.

1.     Peringkat Satu : Membawa blok / bongkah

Pada peringkat 1, kanak-kanak yang tertarik kepada sesuatu barang mainan akan melihat dan membawa barang mainan itu tanpa bantuan daripada orang lain. Hal ini kerana, ada sesuatu hal yang mahu mereka lakukan selain daripada warna atau bentuk blok yang menarik perhatian mereka untuk memegang dan membawanya bersama mereka. Menurut perunding pediatrik dan pakar kardiologi pediatrik Dr Yong Junina Fadzil, aktiviti seperti mengutip benda kecil, memasukkan ke dalam lubang, menyusun dan membina blok mampu mengaktifkan penggunaan jari dan membantu memudahkan proses memegang pensel dengan betul.

2.     Peringkat 2 : Menyusun dan membuat jalan / laluan



Setelah kanak-kanak berpuas hati dengan objek atau blok yang sudah diambil tadi, sekarang adalah masa untuk mereka menyusun serta membuat laluan yang berbentuk lurus atau straight. 

Blok yang direka dalam pelbagai saiz, bentuk dan warna dapat dimanfaatkan oleh kanak-kanak dalam membina daya kreativiti mereka. Ibu bapa dan guru seharusnya membenarkan kanak-kanak mereka dan bermain blok agar minda mereka dapat dirangsang dengan sebaik mungkin. 

Dipetik daripada laman web Anak2u.com, hasil kajian dari sudut saintifik menyatakan bahawa bermain dapat membantu kanak-kanak dari segi pembelajaran serta perkembangan psikomotor mereka. Tambahan pula, bermain juga sangat penting bagi kanak-kanak supaya pembentukan fikiran dan pembangunana minda dapat dioptimumkan.

3.     Peringkat 3 : Merapatkan blok dan menyambung blok untuk membentuk struktur



Seterusnya ialah merapatkan bongkah dan juga menyambung blok bagi membina struktur tertentu. Selepas kanak-kanak menyusun blok, meraka akan merapatkan blok-blok yang telah digunakan tadi serta menyambung blok tersebut bagi membina sesuatu struktur. 

Pemikiran kanak-kanak yang abstrak dan penuh imaginasi membantu mereka mereka segala struktur secara spontan tanpa bimbingan daripada orang yang lebih dewasa. Permainan blok ini juga dapat melatih kanak-kanak mengenal pasti pelbagai jenis bentuk dan saiz yang ada. 

Sebagai contoh, kanak-kanak menggunakan daya kreativiti mereka dengan menyusun dan menghubungkan blok mengikut warna, ada juga yang gemar menggunakan blok secara bercampur warna supaya rekaan mereka kelihatan menarik.

4.     Peringkat 4 : Membuat pagar/kepungan

Pada peringkat ini, setelah selesai menyambung blok mengikut struktur yang mereka mahukan, kanak-kanak lebih cenderung untuk membuat pagar atau kepungan yang menandakan bahawa blok-blok tersebut berada dalam kawasan ‘jajahannya’ atau kepunyaannya. 

Mereka juga akan menyambung dan membuat blok-blok itu seakan-akan pagar supaya blok-blok tersebut berada dalam capaiannya seterusnya mengelakkan bloknya diambil oleh orang terdekat. Nur Filzahana bt. Ramlee, pensyarah Kolej UNITI Port Dickson mengatakan bahawa bermain blok dapat meningkatkan kemahiran kognitif kanak-kanak. 

Hal ini kerana, mainan blok membantu otak kanan dan otak kiri supaya saling berhubung dan merangsang sel-sel otak untuk mengembangkan kemampuan berfikir mereka ketika mereka memasang komponen blok binaan dan mencantumkan ia di antara satu sama lain.

Peringkat 5 : Membuat binaan atau corak yang terperinci


Pada tahap ini, kanak-kanak terutamanya yang berusia dalam lingkungan 4 ke 6 tahun sudah mampu mencipta struktur yang rumit seperti rumah, istana ataupun bangunan yang lain. Selain itu, kanak-kanak telah mampu mengendalikan blok-blok yang lebih kecil. Aktiviti-aktiviti ini akan meningkatkan daya imaginasi dan kreativiti mereka. 

Menurut Dr Yong lagi, kanak-kanak yang bermain mainan blok ini secara tidak langsung dapat belajar membina, memahami konsep keseimbangan, matematik, belajar mencipta sesuatu dan menyelesaikan masalah.

6.     Peringkat 6 : Bermain secara dramatik dengan struktur yang kompleks



Peringkat yang terakhir iaitu peringkat di mana kanak-kanak bermain atau ‘pretend play’ dengan binaan yang telah mereka siapkan. Sebagai contoh, jika mereka membina rumah, meraka akan mencipta jalan atau laluan ke rumah sebelum memasuki rumah tersebut. Hal ini dapat mendidik mereka untuk melakukan sesuatu secara ‘step-by-step’. 

Tambahan pula, dalam blog Ibu Bapa Cemerlang, permainan blok juga membantu perkembangan fizikal apabila kanak-kanak mengambil, menyusun, memadankan blok untuk membina sesuatu dan bermain dengan blok tersebut. Hal ini kerana ketika mereka bermain, mereka membina kekuatan pada jari dan tangan serta menambah daya koordinasi antara mata dan tangan.

Secara tuntasnya, permainan blok atau bongkah yang terdapat dalam pelbagai rekaan, corak dan warna dapat membantu kanak-kanak dalam meningkatkan daya koordinasi, kognitif, kreativiti dan daya pemikiran mereka. 

Selain itu, permainan blok memberikan kesempatan kepada kanak-kanak untuk membina sesuatu mengikut daya imaginasi masing-masing serta mereka juga mendapat kepuasan dengan hasil ciptaan mereka sendiri.

Anak tuan puan sudah di tahap mana bermain blok? Kongsikan dengan kami di ruangan komen.

 Penulis : Teacher Syazwina

 ***


Comments

Popular posts from this blog

KELEBIHAN DAN KEKURANGAN PDPR

3 Faedah Bercucuk Tanam Untuk Anak Seawal 3+ Tahun