KEPENTINGAN PENDIDIKAN SENI VISUAL

 

Pendidikan seni visual merupakan suatu program pendidikan yang bersistem dan mempunyai matlamat serta hala tuju yang jelas. Terdapat banyak pendapat dan pandangan yang diutarakan mengenainya oleh para pemikir seni. Setiap tokoh-tokoh tersebut mengutarakan pandangan mengikut pendekatan masing-masing.

Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat ini melalui persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri

Pendidikan seni visual mampu melahirkan insan yang harmoni, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Dengan mempelajari Pendidikan Seni Visual di prasekolah, murid akan dapat menguasai beberapa pengetahuan dan kemahiran. Antara pengetahuan yang dapat dimiliki murid ialah pengetahuan mengenai bahan, alat dan teknik yang digunakan dalam sebarang kegiatan seni. Murid juga akan mendapat pengetahuan mengenai sumber motif dalam persekitaran, kraf tradisional, unsur seni dan prinsip rekaan dalam pendidikan seni visual, proses pembuatan hasil seni, menyimpan maklumat atau dokumentasi, mengintegrasikan maklumat dan aplikasi komputer dalam kerja seni visual. Sementara kemahiran yang akan diperolehi murid pula ialah kemahiran memanipulasi bahan, alat dan teknik, mengaplikasi disiplin seni visual, berfikir secara kritis dan kreatif, berkomunikasi secara berkesan, membuat pilihan, membuat interpretasi, menggunakan teknologi bahan dan perkakasan.

Selain itu, kepentingan Pendidikan Seni Visual juga boleh boleh dibahagikan kepada lima aspek, iaitu, aspek kognitif, fizikal, kreativiti, persepsi, serta sosial dan emosi. Dari segi aspek kognitif, penganjuran aktiviti seni visual yang tersusun dan terancang dapat melahirkan kanak-kanak yang mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah serta mampu membuat penilaian dan bijak membuat keputusan.

Dari segi aspek fizikal, penggunaan alat dan bahan memberikan satu bentuk latihan berkesan kepada otot tangan (psychomotor) dan koordinasi tangan serta mata. Jika dilihat daripada aspek kreativiti, latihan dan projek yang bersifat terbuka dapat membantu murid untuk mengembangkan aspek kreativiti mereka. Aktiviti dan projek di dalam pendidikan seni visual mengutamakan proses, berbanding dengan hasilan akhir. Manakala, dari segi aspek persepsi, murid boleh mempertingkatkan dan menajamkan penggunaan pancaindera dan deria melalui proses penghasilan dan hasilan seni, produk dan objek yang terdapat di sekeliling mereka.

Dari segi aspek sosial dan emosi, murid boleh berinteraksi dan meningkatkan keupayaan bersosial selain meningkatkan keyakinan diri. Mata pelajaran pendidikan seni juga menganjurkan semangat bekerjasama di dalam aktiviti berkumpulan yang dibentuk.

Tambahan pula, seni lukis merupakan bentuk komunikasi awal kanak-kanak sebelum mereka berupaya untuk bertutur. Ianya dijadikan alat perhubungan yang berkesan untuk berinteraksi. Melukis juga merupakan aktiviti yang mampu memberikan kepuasan kepada kanak-kanak. Melalui lukisan, kanak-kanak dapat meluahkan perasaan dan emosi selain dapat membina kekuatan otot. Aktiviti sebegini juga dapat membantu menajamkan daya intuisi kanak-kanak.Pendidikan seni visual dapat memberikan kepuasan kepada kanak-kanak dalam meluahkan apa yang dilihat lalu dipindahkan semula dalam bentuk dan rupa imej yang unik mengikut tahap pemahaman mereka. Melalui aktiviti melukis, kanak-kanak dapat meningkatkan daya sensitiviti pancaindera.


 








 



 







Comments

Popular posts from this blog

6 Peringkat Ketika Bermain Blok / Bongkah

KELEBIHAN DAN KEKURANGAN PDPR

4 Aktiviti Menarik Menggunakan Bahan Di Rumah Untuk Anak 4-6 Tahun