FUNGSI BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PENGANTAR DI SEKOLAH
a) Bahasa
Melayu Sebagai Bahasa Perpaduan Kaum

Bahasa
Melayu yang dijadikan sebagai bahasa kebangsaan dan menjadi bahasa rasmi
negara, menunjukkan bahawa terdapat semangat 1Malaysia yang ditonjolkan di
situ. Menurut kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan kebudayaan, Datuk Seri Dr
Rais Yatim, tiada bahasa lain di Malaysia yang mampu menyatupadukan seluruh
rakyat negara ini. Hal ini kerana, bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling
mudah untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat dan majoriti penduduk di
negara ini adalah bangsa Melayu. Bahasa Melayu boleh dijadikan alat untuk
menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dengan menggunakan satu bahasa yang
sama seterusnya diharapkan ia dapat membangunkan negara. Pelbagai kaum
menggunakan satu bahasa yang mudah untuk difahami oleh semua orang. Selain
daripada itu, bahasa Melayu juga merupakan agen perpaduan negara di mana, untuk
merealisasikannya. Mereka menerima bahawa bahasa Melayu patut dipelajari oleh
semua kaum agar mereka dapat berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain.
Bahasa Melayu telah bertindak sebagai alat yang menghubungkan pelbagai bangsa
dan berupaya untuk menyatupadukan bangsa yang dikenal sebagai bangsa Malaysia.
b) Bahasa
Melayu Sebagai Bahasa Komunikasi

Komunikasi
bermaksud perhubungan di antara orang dengan orang lain, dengan menggunakan
bahasa atau isyarat. Komunikasi ini boleh berbentuk lisan atau tulisan. Bahasa
ialah alat komunikasi yang menjadi media bagi seseorang untuk berhubung antara
satu sama lain, melahirkan perasaan, fikiran, kehendak dan sebagainya. Malahan
bahasa juga merupakan satu media untuk menguasai sesuatu bidang pengetahuan
supaya memperoleh kecekapan dan kemahiran belajar dalam mengajar iaitu menerima
dan menyampaikan ilmu pengetahuan. Seseorang boleh meluaskan pemikiran dan
pengetahuan serta membolehkannya menjadi sebahagian daripada ahli
masyarakatnya. Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi di peringkat sekolah
menunjukkan bahasa itu digunakan untuk berkomunikasi di antara guru dengan
guru, guru dengan murid, murid dengan murid dan guru dengan ibubapa. Komunikasi
banyak hala ini dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai perantaraan untuk
menyatakan cadangan dan pandangan serta perkongsian idea, permasalahan dalam
pendidikan mahupun interaksi harmoni dengan masyarakat setempat.
c) Bahasa
Melayu Sebagai Bahasa Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Dalam
proses pengajaran dan pembelajaran dalam apa jua mata pelajaran, kita tidak
dapat melepaskan diri daripada menggunakan bahasa. Oleh sebab itulah dikatakan,
“bahasa merentasi kurikulum” kerana bahasa merangkumi seluruh bidang pelajaran
dalam sistem pendidikan, baik pendidikan secara formal mahupun tidak formal.
Ini bermakna apa juga pelajaran yang disampaikan guru kepada murid ialah yang
melalui perantaraan bahasa. Berkesan atau tidaknya proses pengajaran dan
pembelajaran bergantung kepada tingkat penguasaan bahasa yang membolehkan
seseorang itu menguasai proses itu. Maka sudah pastilah menjadi satu perkara
yang biasa apabila kita dapati guru – guru akan menggunakan bahasa Melayu dalam
proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Hatta berada dalam
lingkungan sekolah kebangsaan mahupun sekolah jenis kebangsaan, guru dan murid
menggunakan bahasa Melayu sebagai medium bahasa yang digunakan dalam pengajaran
dan pembelajaran, lebih – lebih lagi ketika sesi pengajaran mata pelajaran
Bahasa Melayu.
Comments
Post a Comment