Kepentingan melatih kanak-kanak membasuh  tangan dengan betul

 

 

Pandemik COVID-19 sudah melanda selama lebih setahun dan kini memasuki gelombang keempat dengan di negara ini terus dibelenggu oleh kebimbangan bilangan kes yang tinggi setiap hari.

Seramai 32 juta penduduk negara dengan hampir 30 peratus kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah dan antara golongan yang berisiko dijangkiti.

Sebagai salah satu kaedah paling mudah dan berkesan mengekang penularan COVID-19, langkah menjaga kebersihan tangan membabitkan semua pihak termasuk dalam kalangan kanak-kanak.

Mencuci tangan dengan betul adalah cara terbaik untuk mengawal dan mengurangkan penyebaran penyakit kerana tangan pengantara utama kuman disebarkan.

 

Pakar Runding Pediatrik, Pusat Perubatan Ara Damansara, Dr Rakhee Yadav, berkata tabiat itu perlu diamalkan sejak awal usia kanak-kanak dan ibu bapa boleh membantu memupuk amalan menjaga kebersihan tangan dalam rutin harian.

 

Memupuk amalan menjaga kebersihan tangan di rumah dan mereka boleh memupuk amalan dengan pelbagai cara iaitu:

 

Menjadi teladan

 – Ibu bapa sepatutnya mencuci tangan dengan kerap untuk menjadi teladan kepada anak.

 

Permainan air

 – Menjadikan aktiviti lebih menyeronokkan dengan membolehkan anak bermain       sekali-sekala dengan air dan sabun.

 

Ganjaran

 – Memberikan ganjaran dan kata-kata pujian apabila kanak-kanak ingat untuk mencuci tangan.

Jadikan rutin

– Letakkan nota pelekat pada pintu peti sejuk untuk menunjukkan amalan mencuci tangan adalah peraturan di rumah tetapi jangan jadikannya seperti tugas membebankan.

Elakkan menghukum kanak-kanak

– Jika anak tidak mahu atau terlupa mencuci tangan, terangkan bagaimana kuman kadangkala boleh menyebabkan kita jatuh sakit dan tidak perlu menghukum  dan memarahi mereka.

Penyediaan singki yang sesuai  untuk kanak-kanak

 – Jika singki terlalu tinggi, pastikan ada bangku supaya anak mencuci tangan dengan mudah.

Tukar menjadi aktiviti

 – Adakan peraduan mewarna atau melukis di rumah untuk menggalakkan anak melukis gambar tangan bersih dan cara mencuci tangan.

 

Dr Rakhee berkata, memandangkan sekolah mungkin menjadi titik panas penyebaran kuman dalam kalangan kanak-kanak kerana mereka mempunyai sistem imun yang belum berkembang sepenuhnya dan faktor tingkah laku seperti kecenderungan meneroka dengan tangan dan mulut, mereka mungkin lebih terdedah kepada penyakit.

Meskipun ketika ini, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di seluruh negara, namun amalan itu perlu terus dititikberatkan apabila mereka kembali ke sekolah.

Penggunaan pembersih tangan berasaskan alkohol dengan betul boleh memastikan tangan bersih bila tiada sumber air yang berhampiran.

Pembersih tangan seharusnya terdapat kandungan alkohol sekurang-kurangnya 60 peratus hingga 80 peratus untuk mencetus tindakan antimikrob yang pantas dan optimum.

Penggunaan pembersih tangan lazimnya lebih pantas, lebih berkesan dan lebih mudah dilakukan di samping bersifat hipoalergenik (tidak menimbulkan alahan), tanpa bau dan tanpa warna.

Memang ada bahan pembersih tangan lebih mesra kanak-kanak kecil, tetapi lazimnya ia tidak mengandungi alkohol dan kurang berkesan menentang bakteria dan virus tertentu termasuk virus COVID-19.

Menurut Akademi Pediatrik Amerika (AAP), cecair pembasmi kuman atau pensanitasi tangan tidak disyorkan untuk kanak-kanak berusia di bawah dua tahun dan terdapat risiko lebih tinggi keracunan alkohol secara tidak sengaja.

Perkara ini boleh berlaku jika kanak-kanak secara tidak sengaja minum atau meletakkan tangan ke dalam mulut sebelum bahan kandungan pensanitasi kering.

Sesetengah pembersih tangan mungkin mengandungi benzalkonium klorida yang membawa mudarat jika tertelan dan ada di antara mereka yang mungkin mengalami alahan.

Menurut AAP, semua kanak-kanak berusia di bawah lima tahun harus diawasi dengan teliti apabila menggunakan pensanitasi atau pembersih tangan.

Mereka berusia lebih lima tahun juga mungkin perlu dipantau, bergantung kepada tahap perkembangan, intelektual dan keperluan perubatan masing-masing.

Beliau berkata, satu lagi petua bagi ibu bapa ialah tidak menggunakan pembersih tangan berwarna cerah atau berbau wangi kerana ini menggalakkan kanak-kanak bermain atau menelan kandungan secara tidak sengaja.

Kanak-kanak boleh mengalami selesema biasa, influenza atau flu atau dalam situasi semasa, COVID-19, jika mereka tidak belajar mencuci tangan dengan betul atau menjauhkan tangan daripada muka mereka.

"Mereka juga boleh mengalami penyakit berkaitan cirit-birit dan langkah menjaga kebersihan tangan boleh membantu mencegah kejadian seperti ini," katanya.

Pada 2003, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menjalankan satu kajian untuk melihat sama ada amalan menjaga kebersihan tangan boleh mencegah cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak kecil.

Kajian mendapati kumpulan kanak-kanak yang keluarga mereka menerima pendidikan berterusan cara mencuci tangan dan sabun mengalami hanya separuh daripada penyakit berkaitan ciri-birit berbanding kanak-kanak dalam satu lagi kumpulan.

Hakikatnya mencuci tangan dengan sabun dan air, cara terbaik dan paling mudah untuk memastikan kebersihan tangan.

Sabun antimikrob sedikit lebih berkesan daripada sabun biasa tetapi membasuh tangan menggunakan sabun biasa dan air, tempoh mencuci tangan sekurang-kurangnya 40 hingga 60 saat disyorkan.

 

 

Comments

Popular posts from this blog

6 Peringkat Ketika Bermain Blok / Bongkah

KELEBIHAN DAN KEKURANGAN PDPR

4 Aktiviti Menarik Menggunakan Bahan Di Rumah Untuk Anak 4-6 Tahun