Ada Anak Berusia 4 Tahun Pada 2021? Ketahui 5 Sebab Mengapa Ibu Ayah Perlu Menghantar Anak Ke Tadika Seawal Usia 4 Tahun


Setiap ibu bapa semestinya mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka termasuklah memastikan anak-anak mereka mendapatkan pendidikan yang bagus. Namun beberapa monolog seperti, “Eh, bolehkah dia sesuaikan diri bila hantar ke tadika?” sentiasa berlegar-legar di minda kita sebagai ibu bapa.

Akan tetapi, ibu bapa pada era milenium kini kebanyakannya amat menitikberatkan pendidikan dalam diri anak-anak mereka. Taska menerima anak seawal usia 2 bulan ke 4 ta hun, manakala tadika yang menerima kemasukan murid yang berusia seawal 4 tahun hingga 6 tahun. 


Jadi, mana satu yang lebih sesuai untuk anak? Taska, Tadika, Playschool atau teruskan sahaja di rumah pengasuh atau rumah tok?

Ibu bapa seharusnya bijak memilih tempat pembelajaran yang terbaik dan juga bersesuaian dengan anak masing-masing agar anak-anak dapat menyerlah potensi mereka.

Dalam artikel greatschools.org oleh Hank Pellissier menyatakan bahawa keperluan menyediakan aktiviti-aktiviti yang meningkatkan daya pemikiran si cilik akan membuatkan pembelajaran mereka lebih efisyen. Tempat pengajian yang terbaik juga termasuklah menyediakan pembelajaran yang mampu meliputi kesemua aspek pemikiran si cilik termasuklah aktiviti seperti memasak, melukis, bermain tanah liat dan bermain alat musik.

Oleh sebab itu, ibu bapa semestinya bijak membuat pilihan dengan mempertimbangkan kemasukan anak-anak ke tadika agar waktu mereka diisi dengan ilmu yang bermanfaat dan dalam masa yang sama sebagai satu persediaan untuk ke sekolah rendah. 

Berikut merupakan sebab- sebab mengapa ibu bapa harus menghantar anak- anak ke tadika seawal usia 4 tahun.

1.     Membina kemahiran Anak

Anak-anak yang dihantar ke tadika secara tidak langsung mampu membina kemahiran khususnya kemahiran berkomunikasi, mendengar arahan dan juga cepat bertindak balas pada sebarang situasi.


2.     Lebih bertanggungjawab dan berdikari

Kanak-kanak yang ke tadika akan lebih berdikari dan bertanggungawab terhadap diri sendiri dan di sekelilingnya. Selain itu, mereka lebih bersedia untuk melangkah ke sekolah rendah dibandingkan dengan kanak-kanak yang tidak melalui fasa tersebut.

3.     Persekitaran tadika yang lebih ceria

Kajian daripada Universiti Stanford, Amerika Syarikat meyatakan bahawa tekanan atau trauma dan juga ketakutan terhadap sesuatu boleh melepaskan kadar toksik dalam hormon mereka, seterusnya akan merencatkan ingatan fakta dan episodik mereka. Oleh itu, ibu bapa boleh meminimumkan tekanan mereka dengan memberikan mereka persekitaran yang positif dan bagus untuk minda mereka.

4.     Menyerap ilmu pengetahuan dengan betul dan menarik

Silabus pembelajaran di tadika yang lebih sistematik dan menarik akan membuatkan kanak-kanak lebih bersedia untuk menerima pembelajaran dalam bentuk akademik terutamanya pada usia mereka 7 tahun ke atas kelak. Menurut piramid pembelajaran oleh  Williams and Shellenberger (1996) apa juga yang kita harapkan dicapai oleh anak kita pada usia mereka 7 tahun bergantung kepada asas yang kukuh. Tadika yang bagus akan memastikan 7 deria anak dirangsang dengan baik melalui aktiviti yang disusun secara sistematik.

5.     Mengaktifkan minda kanak-kanak

Minda kanak-kanak akan lebih aktif dan sentiasa kekal cerdas dengan aktiviti-aktiviti yang diadakan di tadika. Selain itu, kanak-kanak juga lebih cepat menyerap sesuatu ilmu yang seterusnya akan mempengaruhi kelakuan mereka pada masa hadapan. 

Secara tuntasnya, terdapat banyak manfaat dan juga kebaikan kepada anak-anak jika kita sebagai ibu menghantar mereka ke tadika pada usia seawal 4 tahun.

Pilihlah tadika yang bersesuaian dengan keperluan anak.



Comments

Popular posts from this blog

KELEBIHAN DAN KEKURANGAN PDPR

3 Faedah Bercucuk Tanam Untuk Anak Seawal 3+ Tahun

6 Peringkat Ketika Bermain Blok / Bongkah