Adakah Ibu Ayah Perlu Hantar Anak Ke Tadika Seawal Usia 3 Tahun+

Adakalanya kita sebagai ibu ayah masih ragu-ragu. Adakah sudah masanya kita mengahantar anak yang umurnya bakal masuk 4 tahun. Tambahan pula anak lahir bulan 12, sudah bersediakah anak kita?

Sebagai ibu ayah, perhatikan 3 perkara ini terlebih dahulu sebagai analisa awal merungkai persoalan yang selalu bermain di minda. 

1.     MAHU ANAK BELAJAR BERKAWAN

Apabila kita bawa anak ke taman permainan misalnya, perhatikan adakah anak boleh menyertai kawan-kawan bermain. Jika anak masih takut atau malu dan sentiasa mahu kita menemankan mereka, ini merupakan petanda anak perlu lebih banyak pendedahan dalam pergaulan sosial.

Anak kecil sememangnya perlu belajar berkawan. Ianya bukan satu kemahiran yang boleh dibentuk dalam sehari. Anak perlu belajar dan mengalaminya sendiri. Berkomunikasi, menyampaikan perasaan, menunjukkan emosi.

Emosi marah, sedih, gembira, kecewa ianya bukan sekadar lakonan semula. Ianya perlu dialami sendiri dan daripada situlah anak belajar menyatakan kepada orang lain apakah jenis perasaan yang mereka rasakan itu.

Kita tidak mahu anak mengamuk hanya kerana dia tidak dapat meluahkan sesuatu dengan perkataan. Lapar mengamuk, nak barang mengamuk, mengantuk pun mengamuk.

Jika anak sememangnya tidak biasa bergaul, pilihlah persekitaran tadika yang mempunyai bilangan kelas yang kecil untuk permulaan.


2.   ELAK TERLEBIH RANGSANGAN VISUAL DI RUMAH

Pakar perkembangan kanak-kanak dari American Academy of Paediatrics mengesyorkan:

· Bawah 18 bulan : Seeloknya tidak didedahkan kepada sebarang peranti elektronik kecuali untuk video call bersama keluarga yang jauh

· 18 bulan hingga 2 tahun : Penggunaan bawah 1 jam hanya dibenarkan dengan pengawasan ibu bapa dalam masa yang terkawal.

· 2 tahun hingga 5 tahun : Penggunaan bawah 1 jam sehari. Ibu bapa perlu ‘alert’ tentang perkara yang ditonton oleh anak, menceritakan semula atau memberi penerangan setiap apa yang dipelajari melalui ‘screen time’.

Jika kita seorang ibu bekerjaya, anak bawah 3 tahun biasanya diletakkan di rumah pengasuh, rumah nenek atau taska. Tanya kepada diri kita, adakah anak kita menghabiskan masa lebih daripada 1 jam setiap hari di depan skrin? Skrin ini bukan bermaksud telefon semata-mata, televisyen juga termasuk dalam kategori skrin.

Di tadika yang berdaftar, setiap 20-30 minit akan disusun aktiviti berbeza. Jika menggunakan layar dan televisyen sekalipun sebagai alat bantu mengajar, anak akan bergerak mengikut pergerakan di skrin bersama guru. Anak akan aktif bergerak dan bukannya hanya mata dan jari sahaja yang bergerak.

Jika kita rasakan pendedahan skrin melebihi had yang disyorkan, tadika amat sesuai bagi anak berumur 3 tahun + untuk memastikan semua deria dirangsang, bukan hanya secara visual semata-mata. Keseimbangan, itulah kata kuncinya.


3.   KESIHATAN EMOSI

Ada ibu yang bekerja dari rumah tetap menghantar anak seawal usia 3 tahun + ke tadika. Kenapa?

Perhatikan dalam sehari apabila kita sedang bekerja di rumah, tak kiralah berniaga online, membuat kerja rumah rutin, adakah anak kita menjadi mangsa lepas geram kita. Adakah kita menjerit apabila anak terbuat kesilapan sedikit seperti tertumpah air atau makanan. Jika ya, itu petanda yang kita letih di rumah dan anak juga tidak akan dapat faedahnya bersama kita. Mungkin jasad sahaja ada dekat, namun yang lainnya terpisah jauh.

Ada tadika yang menawarkan pilihan program separuh hari. Mulakan dengan ini dahulu. Anak pun dapat belajar banyak perkara dan kita sebagai ibu juga dapat fokus membuat kerja-kerja setiap hari.

Ibu gembira, anak bahagia. Menghantar anak ke tadika seawal usianya 3 tahun+ merupakan salah satu cara kita menjaga diri kita terlebih dahulu supaya kita dapat menjaga orang yang kita sayangi.

Kita sebagai ibu ayah merasakan perlu menghantar anak ke tadika seawal usia mereka 3 tahun+, namun adakah mereka sudah bersedia atau lebih tepat, adakah kita sudah lengkapkan mereka dengan kemahiran sepatutnya sebelum kita melepaskan penjagaan dan pendidikan kepada guru tadika? Nantikan artikel seterusnya.


Walaupun mahu berbincang dengan pasangan terlebih dahulu sebelum buat keputusan hantar anak ke tadika, boleh sahaja wassap Cikgu Ana untuk mengetahui lebih lanjut tentang program di Tadika Kembara Bijak sesi 2021. Rebat RM300 dan sepasang pakaian seragam percuma menanti untuk pendaftaran sepanjang bulan kemerdekaan. http://www.wassap.my/60177784681/2021

Comments

Popular posts from this blog

KELEBIHAN DAN KEKURANGAN PDPR

3 Faedah Bercucuk Tanam Untuk Anak Seawal 3+ Tahun

6 Peringkat Ketika Bermain Blok / Bongkah