7 Panduan Mendidik Anak Kecil Berpuasa
Assalamualaikum buat semua pembaca,
Alhamdulillah, hari ini sudah masuk 2 Ramadan.
Untuk anak-anak di tadika, pada kebiasaannya rutin makan masih sama, jam 10 pagi sudah boleh makan :D
Hanya untuk anak-anak 6 tahun, selalunya mereka sudah lebih matang dan ada yang mahu berpuasa sehingga waktu tengah hari. Alhamdulillah.
Uniknya Ramadan kali ini, majoriti kita berada di rumah. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan kita normal yang baharu. Pastinya lebih sukar mendidik anak berpuasa di rumah, celik mata sudah buka peti ais :D
Ini antara 7 panduan mendidik anak kecil berpuasa, hasil tulisan Tuan Asyraf Baharuddin, pengusaha Tadika Cilik Ilmu, Kangar.
7 Panduan Mendidik Anak Kecil Berpuasa
Ramadan telah pun tiba selepas setahun berlalu. Pada tahun ini, ianya menjadi satu situasi yang mencabar bagi ibu bapa untuk mendidik anak kecil berpuasa kerana kita berada dalam tempoh PKP bagi mencegah wabak yang melanda.
Hakikatnya, mendidik anak untuk berpuasa semasa di tadika adalah lebih mudah kerana mereka lebih cenderung untuk turut berpuasa bersama rakan-rakan sebaya.
Mereka saling memujuk antara satu sama lain untuk menahan lapar dan dahaga. Guru pula memainkan peranan untuk mendidik mereka serta memberi ganjaran atas usaha anak-anak yang bersusah-payah untuk berpuasa.
Memandangkan anak-anak akan menjalani ibadah puasa di rumah sepenuhnya pada tahun ini, kami ingin kongsikan tips mendidik anak berpuasa di rumah.
1. Memberi Kefahaman Tentang Puasa
Jika dalam pembelajaran kelas, Set Induksi merupakan elemen penting kerana ianya merupakan pengenalan awal kepada sesuatu pembelajaran subjek.
Ibu bapa boleh menerangkan lebih awal kepada anak-anak mengenai maksud, kebaikan, faedah dan ibadah yang dilakukan sepanjang berpuasa.
Anak-anak sekarang kebanyakannya suka bertanya banyak dan berkali-kali. Ibu bapa kena bersedia dengan jawapan yang betul dan memuaskan hati anak-anak.
2. Bersahur Dan Berbuka
Anak-anak digalakkan untuk turut bersahur dan berbuka bersama kerana ini mewujudkan suasana puasa.
Anak-anak akan seronok mengikuti aktiviti bersama. Ini mendorong mereka untuk berusaha lebih baik daripada semalam.
Untuk sahur sekiranya anak tidak boleh bangun jam 5 tidak mengapa. Bagi memberi kefahaman dan mengajar tidak salah sekiranya makan pagi dikatakan sebagai waktu sahur anak itu dan ibu bapa boleh katakan lepas sahur kena puasa.
3. Sedikit-Sedikit Dan Berperingkat
Pasti anak-anak sukar berpuasa pada usia yang terlalu muda. Mereka aktif dan perlukan tenaga daripada makanan dan minuman.
Oleh itu, ibu bapa boleh memendekkan waktu berpuasa mereka.
Contohnya, berbuka pada 10.00 pagi pada hari pertama, 10.10 pagi pada hari kedua, dan begitulah seterusnya.
4. Memberi Ganjaran
Ibu bapa sebaiknya memberi ganjaran kerana mereka berjaya berpuasa pada hari tersebut.
Mereka sukar memahami ganjaran yang tidak dapat dilihat di depan mata.
Antara ganjaran yang sesuai ialah pelekat smiley yang cantik yang dilekat pada Carta harian.
Ganjaran tambahan boleh diberi pada aktiviti yang lain seperti solat, baca Al-Quran, sedekah dan sebagainya.
5. Puji
Jangan lupa puji hasil usaha anak. Bagi mereka, puasa merupakan suatu perkara baharu dalam hidup.
Apabila mereka berjaya berpuasa walaupun tempoh singkat, kata sesuatu yang menggembirakan mereka.
Jika mereka gagal, jangan jatuhkan self esteem mereka. Berikan dorongan dan semangat untuk terus berpuasa pada hari esok.
6. Sediakan Menu Kegemaran
Wah, ini yang seronok ini. Apa yang mereka suka makan, mereka akan dapat nikmatinya pada hari tersebut.
Memang betullah apa yang Rasulullah sebut. Ada 2 kegembiraan bagi orang berpuasa. Pertama, kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua kegembiraan ketika dia bertemu Tuhan-Nya.
Jangan lupa juga menu sahur yang sihat dan seimbang. Menu yang menarik seperti Bento dapat menarik minat anak untuk bangun bersahur.
7. Menonton Multimedia Berkaitan Puasa
Sekarang sudah ada banyak pihak yang berkarya kreatif dalam berbagai topik.
Untuk bercerita tentang puasa, ibu bapa boleh tunjukkan video dan tayangan yang banyak sumbernya dalam internet.
Video Upin & Ipin episod Ramadan antara video yang sesuai untuk ditonton.
Nyanyian dan lagi berkaitan Puasa juga banyak di internet.
Selamat menunaikan ibadah puasa buat semua. Didoakan ibadah ini dapat membentuk diri kita menjadi hamba Allah yang lebih baik setiap hari.
💗 Cikgu Ana
2 Ramadan 1441 H
Wang Tepus, Jitra
Comments
Post a Comment