Adab dengan guru yang semakin dilupakan
Adab dengan guru yang semakin dilupakan
Guru umpama lilin yang membakar diri demi menerangi orang
lain. Maksud peribahasa ini adalah seorang guru sanggup berkorban masa dan
tenaga demi memastikan anak didiknya berjaya dalam kehidupan.
Namun seringkali kita melihat
kisah-kisah duka seperti pelajar melawan cakap gurunya, guru dikhianati pelajar
dek kerana dendam dan masalah akhlak yang agak merunsingkan di dada-dada akhbar
dan media sosial. Ramai orang berilmu tetapi mereka tidak mementingkan adab
sebagai penuntut ilmu. Walaupun begitu, jarang sekali guru berputus asa dalam
memberi didikan terbaik kepada anak bangsa.
Islam mengajar kita supaya
menghormati guru sepertimana kita menghormati ibu bapa kerana guru umpama
pengganti kedua orang tua kita ketika di sekolah ataupun di tempat-tempat
menuntut ilmu. Ini kerana ilmu yang dituntut dengan adab yang dipelihara adalah
ilmu yang di dalamnya penuh dengan keberkatan.
Pesan Imam Malik RA: “pelajarilah
adab sebelum mempelajari sesuatu ilmu” jelas menunjukkan bahawa bukan sahaja
ilmu penting dalam kehidupan manusia, tetapi adab juga penting dalam proses
menuntut ilmu. Ilmu bersama adab pastinya akan memberi lebih keberkatan dalam
hidup seseorang.
Antara adab terhadap guru yang
boleh kita amalkan adalah dengan budaya yang paling mudah iaitu memberi salam.
Selain dapat mewujudkan sikap hormat menghormati antara murid dengan guru,
salam juga adalah sunnah baginda Rasulullah SAW untuk merapatkan lagi hubungan
persaudaraan.
Selain itu, ketika guru sedang
menyampaikan ilmu di hadapan kelas, sebagai pelajar kita perlu memberi
perhatian sepenuhnya. Elakkan berbual-bual tentang perkara yang tidak berkaitan
dengan rakan di sebelah mahupun leka melayari media sosial atau permainan pada
telefon pintar. Sikap ini menyebabkan kita mungkin tidak dapat memahami atau
tertinggal isi-isi penting yang sedang disampaikan oleh guru kita.
Elakkan membantah teguran dan
nasihat yang diberikan oleh guru. Sikap ini seolah-olah melawan kata-kata ibu
bapa kita. Pastinya setiap teguran dan nasihat itu membawa kebaikan kepada kita
semua. Namun begitu, guru juga insan biasa yang tidak sempurna. Jika ada yang
perlu ditegur dalam proses sesi pengajarannya untuk penambahbaikan di masa akan
datang, pelajar-pelajar boleh menyalurkannya dengan menggunakan medium yang
betul. Kerana itu juga, kita dapati kebanyakkan tempat-tempat pengajian ilmu
menyediakan satu medium atau platform khas untuk cadangan dan penambahbaikan
sesi pengajaran dan pembelajaran. Elakkan menggunakan media sosial sebagai
tempat untuk menulis bagi menghina dan mengecam guru-guru sekiranya tidak
bersetuju dengan caranya kerana ia bukan sahaja tidak memberi sebarang faedah
dan kebaikan, namun dianggap seperti mengumpat, mengaibkan dan memburukkan
guru-guru kita. Sudah pasti keberkatan dalam menuntut ilmu itu akan hilang.
Mungkin juga keberkatan itu tidak kita sedari pada ketika ini, namun kesannya
akan dirasai pada masa akan datang.
Selain itu, kita juga digalakkan
untuk mendoakan guru-guru kita dengan doa-doa yang baik. Sesungguhnya setiap
doa yang baik akan kembali kepada pendoanya. Tidak rugi jika kita mendoakan
orang lain kerana doa juga merupakan hadiah terbaik buat semua orang termasuk
guru-guru kita.
Tanggal 16 Mei merupakan tarikh
yang memberi banyak makna kepada semua para pendidik tidak kira di mana jua
mereka berada dan siapa yang mereka didik. Sambutan ini tidak terbatas kepada
guru di sekolah tetapi kepada semua yang bergelar pendidik termasuk jurulatih,
pengajar dan pensyarah. Mereka ibu bapa kedua bagi setiap pelajar ketika di
sekolah, universiti atau setiap pusat-pusat latihan. Hari ini, setiap pendidik
merupakan tulang belakang para pelajar dalam menghadapi cabaran dunia semakin
mencabar.
Penulis ingin mengajak semua
untuk bersama-sama mendoakan agar guru-guru kita sentiasa dilimpahi rahmah dan
kesejahteraan selalu. Peliharalah adab antara pelajar dan guru dalam mencari
keberkatan ketika menuntut ilmu. Bagi guru-guru pula, jangan berhenti untuk
terus mendoakan kejayaan pelajar-pelajar. Terima kasih guru..
Comments
Post a Comment