TINGKAH LAKU EMOSI KANAK-KANAK



Tahukah anda bahawa kanak-kanak biasanya belajar daripada apa yang sedang mereka lihat dan yang telah terjadi, bukannya daripada apa yang dikatakan atau diberitahu kepada mereka. Dengan kata lainnya menunjukkan perlakuan tingkah laku yang baik berbanding mengarahkan mereka untuk bertingkah laku sepertimana yang diingini (Cathy Malley, 1998 ). Dalam teori Albert Bandura, pembelajaran sosial merupakan pembelajaran tingkah laku seseorang itu melalui pemerhatian yang dibuat ataupun peniruan. Seseorang itu akan melakonkan apa yang diperhati dan dipelajari dalam kehidupan seharian mereka. Tingkah laku kanak-kanak yang berulang-ulang kali melalui peniruan terhadap tingkah laku orang sekeliling akan menjadi sebati dan akhirnya menjadi sikap dan tingkah laku sendiri.  Justeru, bagaimana guru-guru, adik beradik terutamanya ibu bapa bertingkah laku akan memberi kesan kepada kanak-kanak.

Apa itu tingkah laku ?

Tingkah laku adalah apa yang dilakukan atau diperkatakan oleh seseorang individu. Selain itu, tingkah laku juga melibatkan semua tindakan seseorang yang boleh diperhati, diukur dan dinilai dan sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, secara sedar atau separa sedar. Terdapat dua jenis tingkah laku, iaitu:

 



1)    Tingkah Laku Positif

Tingkah laku positif adalah satu proses untuk perkembangan kanak-kanak secara seimbang Selain itu, kanak-kanak juga akan lebih bersemangat untuk melibatkan diri dalam sebarang aktiviti pengajaran dan pembelajaran sama ada di sekolah mahupun di rumah. Tingkah laku positif juga dapat meningkatkan perkembangan kanak-kanak iaitu sikap ingin tahu yang tinggi.

·         Contoh tingkah laku positif :

-Sikap ingin tahu yang tinggi terhadap sesuatu perkara yang dilihat.

-Cepat menangkap atau 'catch up' sesuatu perkara yang baru dipelajari serta mempelajari sesuatu yang baru dengan cepat.

-Sentiasa cepat dan pantas apabila menggunakan otak untuk berfikir.

-Sentiasa menunjukkan kesungguhan atau sikap maju ke depan berbanding kawan-kawan yang lain.

·         Faktor tingkah laku positif

-Baka

-Rakan Sebaya

-Keluarga (ibu bapa)

-Pengaruh tadika (guru)

 


2)    Tingkah laku negatif

Tingkah laku negatif pula merupakan tingkah laku yang mampu memberikan masalah dan  mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas mahupun di rumah.

·         Contoh tingkah laku negatif

-Tingkah laku merosakkan (destruktif)- tingkah laku agresif untuk melihat orang lain mengalami kesusahan atau menderita malah merasa seronok apabila orang lain mendapat malang seperti merosakan sesuatu alatan atau benda, mematahkan, menconteng dan lain-lain.

-Tingkah laku mengganggu (distruktif)- pelakuan melampau yang mengganggu orang lain atau sesi pengajaran dan pembelajaran seperti membuat bising, mengganggu rakan, bergaduh, bertumbuk,menjerit, bercakap dengan kuat dan sebagainya.

-Pengunduran diri- keadaan kanak-kanak dimana menarik diri daripada sesuatu situasi atau keadaan kerana rasa rendah diri, rasa tidak selamat, rasa terancam, kurang kemahiran atau malu.

-Hiperaktif- keadaan dimana kanak-kanak yang tidak boleh duduk diam, bergerak ke sana ke mari tanpa arah tujuan dan sukar dikawal. Malah, kanak-kanak ini tidak takut kepada orang, kerap menangis, suka ketawa, sukar beri tumpuan terhadap permainan atau kerja yang dilakukan dan mudah mengamuk apabila kehendak tidak dilayan. 

-Kebimbangan- kanak-kanak yang berkeadaan tidak tenteram, kurang senang, takut disebabkan guru dan murid lain akan memandang rendah terhadap dirinya. Contohnya, dalam pelaksanaan aktiviti.

-Pergantungan berlebihan- kanak-kanak yang bergantung secara berlebihan kepada orang sekeliling  seperti ibu bapa, guru dan rakan sebaya. Malah, mereka tidak dapat berdikari atau membuat keputusan sendiri.

 

·         Faktor tingkah laku negatif

-          Keluarga (ibu bapa)

-          Peranan guru

-          Keadaan fizikal bilik darjah

-          Pengaruh rakan sebaya

 

Keperluan Kanak-Kanak Masalah Tingkah Laku

1)                1) Kasih sayang

-Kasih sayang yang tidak berbelah bagi dari ibu bapa amat penting dalam mendidik kanak-kanak bermasalah tingkah laku. Adalah amat penting bagi sesebuah keluarga hidup dalam suasana yang harmoni dan penuh kasih sayang. Walaupun setiap keluarga berbeza dari segi latar belakang dan budaya, aspek kasih sayang perlu wujud dan menjadi keutamaan supaya kanak-kanak mengetahui bahawa diri mereka disayangi. Malah, mereka juga perlu tahu bahawa kasih sayang yang diterima tidak bersyarat dan tidak bergantung kepada kesalahan ataupun kesilapan yang mereka lakukan. Selain itu, terdapat kanak-kanak yang merasakan mereka mendapat kurang kasih sayang disebabkan diri mereka yang kurang menyerlah dari segi kebolehan berbanding adik beradik yang lain. Dalam situasi sebegini, kanak-kanak perlu diyakinkan bahawa kasih sayang yang diterima tidak bergantung kepada pencapaian atau kegagalan mereka. Mereka perlu tahu bahawa setiap kanak-kanak mempunyai kelebihan dan kekurangan masing- masing dan segala kekurangan atau kegagalan perlulah diterima seadanya. Kasih sayang yang tidak berbelah bagi dari ibu bapa dan ahli keluarga akan dapat membantu kanak-kanak yakin terhadap diri sendiri dan berasa diri mereka dilindungi.

2) Kebebasan bermain

-kanak-kanak perlu diberi peluang bermain dengan kanak-kanak lain dan rakan sebaya. Dalam mengejar arus pemodenan masa kini, ibu bapa lebih memberi penekanan kepada pencapaian akademik sehingga ada ketikanya kanak-kanak langsung tiada masa bermain atau beriadah. Kerap kali ibu bapa mengucapkan kata-kata seperti “Kamu asyik nak main sahaja” atau ”Baca buku itu, jangan main” tanpa menyedari kepentingan bermain bagi kanak-kanak. Sekiranya kanak-kanak asyik dipaksa untuk melakukan sesuatu yang tidak disukai dan peluang untuk mereka bergaul dangan rakan sebaya mereka dikurangkan, kanak-kanak mungkin akan bersifat mengasingkan diri dan tidak berani untuk bergaul dengan orang lain. Peluang seharusnya diberikan kepada kanak-kanak untuk bermain sama ada sendirian atau dengan kawan-kawan secara berkumpulan. Dengan itu, kanak-kanak tidak akan terasa tertekan dengan kehidupan. Selain itu, bermain mengajar kanak-kanak berinteraksi dengan orang lain serta dapat memupuk kemahiran bersosial seperti berkawan, mengawal diri, berkongsi dan bertoleransi. Bermain juga membantu kanak-kanak memupuk kreativiti dan menyesuaikan diri terhadap persekitaran. Sewaktu bermain, kanak-kanak bebas untuk berlari, ketawa dan menjerit dan ini dapat membantu pernafasan dan menggalakkan mereka meluahkan perasaan. Pada masa yang sama bermain bersama rakan-rakan akan juga membantu kanak-kanak mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri mereka dan mempelajari cara bermain dengan betul.

3) Membina keyakinan dan harga diri

kanak-kanak perlu diberi peluang membina keyakinan dan harga diri. Sebagai kanak-kanak, mereka seharusnya dibimbing untuk mencuba aktiviti baru mengikut kebolehan mereka. Di peringkat kanak-kanaklah mula terbentuk personaliti, keyakinan dan harga diri jika diberi bimbingan yang baik. Harga diri terbentuk apabila kanak-kanak belajar menilai diri, menyayangi diri sendiri menghormati diri sendiri dan orang lain. Keyakinan dan harga diri boleh dibentuk dengan beberapa cara antaranya memberi pujian sekiranya berjaya dalam perkara yang dilakukan dan galakan untuk mencuba lagi sekiranya menghadapi kegagalan. Ibu bapa perlu memberi pujian kepada anak-anak sekiranya mereka telah berbuat sesuatu perkara yang baik. Dengan cara ini, kanak-kanak akan merasa diri mereka dihargai dan disayangi. Kanak-kanak juga mempunyai perasaan. Kata-kata seperti ”Syabas” dan ”Tahniah” adalah antara kata-kata yang boleh menyuntik semangat kanak-kanak untuk berusaha dengan lebih gigih dan meningkatkan harga diri mereka. Sekiranya ibu bapa atau orang dewasa mengeluarkan kata-kata yang negatif seperti ”Kenapa bodoh sangat?” ”degil” dan ”tidak pandai”, ini akan menyebabkan kanak-kanak berasa rendah diri. Elakkan dari mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan dan menyindir bila kanak-kanak melakukan kesilapan. Mereka akan mempunyai perasaan takut untuk berbuat kesilapan dan membesar dengan mempunyai harga diri yang rendah.

4)             4) Keselamatan

Kanak-kanak memerlukan persekitaran yang selamat, tenteram dan terjamin. Bagi menjamin tumbesaran dan perkembangan mental yang sihat, persekitaran di mana kanak-kanak itu tinggal perlulah selamat. Kanak-kanak memerlukan kasih sayang dan perlindungan daripada keluarga mereka. Bagi memastikan kanak-kanak ini membesar dengan penuh keyakinan, kanak-kanak perlulah berada dalam persekitaran fizikal dan emosi yang selamat dan menggalakkan bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti seharian. Tidak kira persekitaran itu di rumah, sekolah, pusat jagaan, pusat pembelajaran dan taman permainan kanak-kanak, kawasan tersebut perlulah dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang boleh menghalang berlaku kecederaan dan pencabulan hak kanak-kanak. Keselamatan yang dimaksudkan ini tidak tertakluk kepada keselamatan fizikal tetapi turut merangkumi keselamatan emosi. Sesebuah keluarga yang berdepan dengan konflik boleh mempengaruhi kesihatan mental kanak-kanak. Ibu bapa yang sering bergaduh dan mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun boleh menyebabkan kanak-kanak berasa keliru, sedih dan sentiasa menyalahkan diri mereka sendiri akibat dari apa yang berlaku kepada ibu bapa. Kanak-kanak yang menghadapi situasi sebegini akan menjadi sukar bersuara pasif serta tidak tegas diri. Kanak-kanak ini menjadi takut untuk menyuarakan keinginan dan perasaan mereka sendiri. Persekitaran yang ceria akan membantu kanak-kanak menjadi cergas, aktif, berani bersuara dan menyatakan pendapat tanpa perasaan takut dan bimbang.

5)                5) Berdisiplin

Dalam mendisiplinkan anak-anak, ibu-bapa perlu memberi teguran yang konsisten. Sekiranya mereka melakukan kesalahan, hukuman perlu diberi. Walau bagaimanapun, hukuman fizikal seperti merotan, memukul dan menampar akan menyebabkan kanak-kanak memberontak dan menjadi lebih agresif. Hukuman yang diberi perlu mengajar mereka mendisiplinkan diri sendiri seperti hukuman mendenda mereka melakukan kerja rumah, tidak membenarkan mereka keluar rumah untuk bermain (grounded), berdiri menghadap dinding (time-out), atau memotong wang perbelanjaan bertujuan mengajar memperbaiki diri dan ke arah kebaikan. Anak-anak perlu diterangkan mengapa mereka dihukum. Ketegasan ibu bapa diperlukan dan anak-anak perlu diberitahu bahawa kemarahan hanya pada tingkah laku mereka dan bukan pada diri mereka.

 

Kesimpulannya, orang yang berada di sekeliling kanak-kanak adalah sangat penting untuk mengawasi keadaan di mana masalah tingkah laku berlaku dengan mengetahui sejauh mana kanak-kanak  dapat memperkuatnya tingkah laku secara positif. Walaupun setiap kanak-kanak mempunyai keperluan yang berbeza, ada beberapa langkah yang dapat diambil, secara umum dapat membantu mencegah masalah tingkah laku. Kanak-kanak bertindak kerana banyak sebab. Oleh itu, orang yang berdekatan dengan kanak-kanak tersebut terutamanya ibu bapa dan guru perlulah mencuba memahami apa yang diinginkan oleh kanak-kanak itu atau apa yang mendorong tingkah laku tersebut. Hal ini adalah langkah penting dalam mencegah masalah tingkah laku kanak-kanak.


 








Comments

Popular posts from this blog

6 Peringkat Ketika Bermain Blok / Bongkah

KELEBIHAN DAN KEKURANGAN PDPR

3 Faedah Bercucuk Tanam Untuk Anak Seawal 3+ Tahun