KEPENTINGAN PENGLIBATAN IBU BAPA DALAM PEMBELAJARAN KANAK-KANAK


Pernahkah terlintas dalam benak anda, Apakah kepentingan penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran kanak-kanak? dan Apakah yang akan terjadi sekiranya ibu bapa tidak melibatkan diri dalam pembelajaran kanak-kanak?

Marilah kita sama-sama membincangkan kepentingan penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran kanak-kanak untuk memastikan anak-anak cemerlang dalam pelajaran.

Dalam institusi keluarga, ibu bapa merupakan individu yang paling hampir dengan anak-anak dan mereka yang mencorakkan perkembangan peribadi anak-anak bermula di peringkat kelahiran sehinggalah ke peringkat dewasa (Rohner, Ronald & Veneziano, 2001). Keterlibatan ibu bapa di dalam setiap aktiviti kanak-kanak membantu perkembangan anak itu sendiri sama ada dari segi perkembangan emosi, rohani, jasmani dan sahsiah.

Namun begitu, masih terdapat ibu bapa yang mengambil mudah akan perkara ini dan tidak menyedari bahawa pembelajaran kanak-kanak adalah penting dan harus diberi perhatian. Ibu bapa juga harus sedar akan hal ini dan tidak menganggap kanak-kanak adalah individu kecil yang tidak tahu apa-apa. Tetapi harus ditekankan di sini bahawa proses pembelajaran bagi kanak-kanak telah berlaku sewaktu mereka masih kecil lagi. Perkataan yang dapat dikatakan ialah cemerlang ibu bapa, cemerlanglah anak-anaknya. Itulah konsep sebenarnya kecemerlangan jika dikaitkan dengan kepentingan penglibatan ibu bapa dalam membantu kecemerlangan anak-anak. Berikut adalah merupakan kepentingan penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran kanak-kanak.

a)    Meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak

Penglibatan ibu bapa akan meningkatkan keyakinan dalam diri kanak-kanak terutamanya keyakinan dari segi komunikasi, bergaul dengan rakan-rakan serta interaksi dengan guru. Kanak-kanak yang berumur 5 hingga 6 tahun sukar untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru sama ada bersama rakan mahupun guru. Aktiviti yang melibatkan penyertaan bersama ibu bapa sebenarnya akan memberikan keyakinan kepada kanak-kanak untuk tidak berasa takut dan menyesuaikan diri dengan keadaan atau suasana baharu mereka. Keyakinan dalam diri merupakan elemen penting yang perlu ditonjolkan oleh seseorang kanak-kanak kerana keyakinan diri yang ada pada seseorang kanak-kanak akan membantu dalam pembentukan personaliti individu itu sendiri. Penyertaan ibu bapa dalam aktiviti sama ada yang telah dirancang oleh guru mahupun cadangan aktiviti daripada ibu bapa sebenarnya sedikit sebanyak membantu kanak-kanak untuk terus melakukan aktiviti, berani untuk tampil ke hadapan dan berkeyakinan untuk bergaul dengan rakan-rakan di dalam kelas. Oleh itu, ibu bapa yang prihatin adalah ibu bapa yang sentiasa menyedari akan keperluan serta kehendak kanak-kanak, menyedari akan perkembangan anak-anak mereka di samping sentiasa ingin tahu berkenaan perkembangan kanak-kanak se awal usia ini.

b)    Dapat bersoal jawab dan berkongsi masalah dengan guru

Komunikasi yang akrab antara ibu bapa dengan guru dapat membantu kanak-kanak dalam pembelajaran mereka. Keterlibatan ibu bapa dalam aktiviti pembelajaran anak-anak dapat membantu ibu bapa untuk berkongsi sebarang masalah sama ada berkaitan dengan pembelajaran dan keupayaan kanak-kanak. Selain itu, ia juga dapat menggalakkan ibu bapa untuk berkomunikasi secara positif dengan guru. Hubungan yang erat antara ibu bapa dengan guru yang terhasil sebenarnya membantu dalam perkembangan kanak-kanak itu sendiri. Disamping itu, persefahaman antara guru dan ibu bapa terjadi disebabkan oleh proses soal jawab dan juga perkongsian maklumat dengan guru. Isu yang timbul melibatkan pembelajaran anak-anak di sekolah dapat diselesaikan dengan mudah dan selari dengan kehendak Kementerian sendiri iaitu menggalakkan penglibatan bersama ibu bapa dan guru dalam menyelesaikan sebarang isu yang berkaitan dengan pembelajaran anak-anak.

c)    Ibu  bapa lebih memahami kurikulum dan aktiviti yang dipelajari oleh kanak-kanak

Morrison (1995) menyatakan ibu bapa adalah orang yang menyediakan keperluan asas, penjagaan dan kasih sayang serta bimbangan dan perlindungan kepada kanak-kanak. Kebanyakan ibu bapa terutamanya yang berada di kawasan pedalaman kurang memahami akan perkara ini. Malah terdadapat segelintir ibu bapa yang tidak mengetahui bahawa pendidikan awal kanak-kanak seharusnya diberikan kepada anak-anak di awal usia lagi iaitu pendidikan secara tidak formal kerana perkembangan kanak-kanak berlaku secara berterusan. Melalui penyertaan ini, sedikit sebanyak ibu bapa akan memahami kurikulum yang diajar dan secara tidak langsung menyedari akan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak. Pengllibatan dalam aktiviti pembelajaran ini bukan sahaja membantu ibu bapa memahami berkenaan kurikulum, malah membantu mereka melakukan penambahbaikan melalui idea atau cadangan yang bernas daripada ibu bapa yang terlibat.



Comments

Popular posts from this blog

KELEBIHAN DAN KEKURANGAN PDPR

3 Faedah Bercucuk Tanam Untuk Anak Seawal 3+ Tahun

6 Peringkat Ketika Bermain Blok / Bongkah